Sistem penilaian prestasi dalam dunia pendidikan sepatutnya menjadi instrumen penting untuk menilai tahap profesionalisme, komitmen dan keberkesanan seseorang guru. Penilaian yang telus dan adil mampu meningkatkan motivasi serta membantu guru memperbaiki mutu kerja. Namun begitu, realiti yang berlaku di sesetengah sekolah menunjukkan wujud budaya penilaian yang dipengaruhi oleh emosi pentadbir, bukannya berdasarkan pencapaian sebenar guru. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan guru dan boleh memberi kesan buruk terhadap kualiti pendidikan secara keseluruhan.
Penilaian Tidak Telus
Salah satu isu utama ialah penilaian yang tidak dilakukan secara telus. Apabila berlaku perselisihan pendapat atau konflik antara guru dan pentadbir, terdapat dakwaan bahawa markah prestasi guru diturunkan atas faktor emosi dan dendam peribadi. Penilaian tidak lagi berdasarkan prestasi sebenar, sebaliknya dipengaruhi hubungan peribadi antara pentadbir dan guru.
Keadaan ini sangat membimbangkan kerana sistem penilaian prestasi sepatutnya bersifat profesional dan objektif. Guru yang berani memberi pandangan berbeza atau menegur kelemahan pentadbiran sering dianggap “bermasalah”, lalu menerima markah lebih rendah walaupun mereka sebenarnya komited dan cemerlang dalam tugas.
Tidak Adil Buat Guru Yang Kuat Bekerja Tetapi Bukan Pak Turut
Dalam banyak keadaan, guru yang rajin bekerja tetapi bukan jenis “yes boss” atau pengampu sering menjadi mangsa. Mereka yang lantang memberi pandangan demi kebaikan sekolah kadangkala dipinggirkan dan diberikan markah lebih rendah.
Sebaliknya, terdapat juga guru yang kurang komited, malas menjalankan tugas atau gagal mencapai sasaran kerja, tetapi mendapat markah tinggi kerana pandai mengambil hati pentadbir. Budaya “pak turut” dan amalan mengampu ini akhirnya merosakkan integriti sistem penilaian prestasi.
Pentadbir juga perlu sedar bahawa pandangan mereka bukan semuanya betul. Mereka sendiri datang daripada latar belakang guru biasa dan tidak semestinya mempunyai rekod kecemerlangan yang luar biasa ketika menjadi guru dahulu. Oleh itu, penilaian terhadap guru seharusnya dibuat secara profesional, bukan berdasarkan ego atau kedudukan.
Keberhasilan Tidak Dirujuk Dengan Sewajarnya
Setiap tahun, guru diwajibkan menyediakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) dan dokumen keberhasilan sebagai bukti pencapaian tugas. Dokumen ini mengandungi sasaran, aktiviti, pencapaian serta impak hasil kerja guru sepanjang tahun.
Namun malangnya, terdapat dakwaan bahawa dokumen keberhasilan ini tidak dirujuk secara serius ketika proses penilaian dibuat. Apabila pentadbir sudah mempunyai persepsi negatif terhadap seseorang guru, segala bukti keberhasilan yang dikemukakan seolah-olah tidak bernilai. Ada guru yang bekerja keras mencapai sasaran, namun tetap menerima markah rendah hanya kerana tidak disenangi pentadbir.
Situasi ini menjadikan sistem keberhasilan sekadar formaliti tanpa makna sebenar.
Membunuh Semangat Guru
Penilaian yang tidak adil mampu membunuh motivasi dan semangat kerja guru. Guru yang selama ini bersungguh-sungguh menjalankan tugas akan mula merasa kecewa apabila usaha mereka tidak dihargai.
Lama-kelamaan akan muncul mentaliti “buat biasa-biasa sahaja” kerana guru melihat mereka yang kurang bekerja pun mampu mendapat markah lebih tinggi. Perkara ini amat berbahaya kerana ia boleh menjejaskan budaya kerja dalam organisasi sekolah.
Apabila guru hilang motivasi, kesannya bukan sahaja terhadap prestasi individu, malah turut memberi impak kepada murid dan kualiti pendidikan secara keseluruhan.
Tiada Perbincangan Semasa Penilaian
Dalam proses penilaian yang baik, sepatutnya wujud sesi perbincangan antara penilai dan pegawai yang dinilai. Guru perlu diberi peluang menjelaskan pencapaian, cabaran dan bukti keberhasilan mereka.
Namun terdapat kes di mana markah diberikan tanpa sebarang perbincangan profesional. Guru hanya mengetahui markah akhir tanpa memahami sebab penilaian tersebut dibuat. Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa keputusan telah ditentukan lebih awal berdasarkan sentimen tertentu.
Perbincangan dua hala sangat penting bagi memastikan penilaian berlaku secara matang, profesional dan adil.
Tiada Rekod Penilaian Yang Lengkap
Lebih membimbangkan apabila terdapat kes pentadbir tidak mempunyai rekod penilaian yang lengkap terhadap kakitangan mereka. Ini bermakna penilaian dibuat secara “atas angin” tanpa dokumentasi yang jelas.
Ada guru mendakwa dokumen keberhasilan yang disediakan sepanjang tahun hanya berakhir di tong sampah tanpa diteliti. Akibatnya, tiada justifikasi kukuh mengapa seseorang guru menerima markah tertentu.
Penilaian tanpa rekod yang sistematik membuka ruang besar kepada penyalahgunaan kuasa dan penilaian berat sebelah.
Isu Panas Yang Menjadi Perhatian
Terdapat juga kes yang menjadi perhatian apabila seorang guru membuat laporan rasmi kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan meminta siasatan dijalankan terhadap proses penilaian prestasi di sekolahnya.
Guru berkenaan mendakwa beliau menerima markah jauh lebih rendah berbanding seorang guru lain yang pernah dicadangkan untuk dipecat daripada jawatan yang disandangnya di sekolah kerana gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Lebih mengecewakan, individu tersebut juga dikatakan kerap bercuti dan kurang memberi komitmen terhadap tugas.
Keadaan seperti ini menimbulkan persoalan besar terhadap kredibiliti sistem penilaian prestasi yang diamalkan.
Pentadbir Boleh Dibawa Ke Mahkamah
Pentadbir perlu memahami bahawa penilaian prestasi bukan perkara kecil. Ia memberi kesan kepada kerjaya, kenaikan pangkat, motivasi dan reputasi seseorang guru.
Jika terbukti berlaku kecuaian, penyalahgunaan kuasa atau penilaian yang tidak profesional sehingga menjejaskan hak seseorang guru, tindakan undang-undang boleh diambil. Guru mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan melalui saluran yang sah termasuk membuat laporan rasmi atau membawa kes ke mahkamah.
Oleh itu, pentadbir perlu lebih berhati-hati dan memastikan setiap penilaian dibuat berdasarkan bukti, rekod serta pencapaian sebenar, bukannya emosi atau hubungan peribadi.
Kesimpulan
Penilaian prestasi guru sepatutnya menjadi alat untuk meningkatkan mutu pendidikan dan profesionalisme warga sekolah. Namun apabila penilaian dipengaruhi emosi, dendam atau budaya pilih kasih, sistem tersebut hilang integriti dan kepercayaan.
Pentadbir perlu bersikap matang, profesional dan telus dalam menjalankan amanah mereka. Guru pula berhak dinilai berdasarkan usaha, pencapaian dan keberhasilan sebenar, bukannya kerana mereka menjadi pak turut atau pengampu.
Jika budaya penilaian tidak adil terus dibiarkan, ia bukan sahaja membunuh semangat guru, malah boleh merosakkan keseluruhan ekosistem pendidikan negara.
Nota : Artikel saya ini berdasarkan kes sebenar yang berlaku disalah sebuah sekolah di Tuaran yang mendapat perhatian JPN.



Post a Comment