Cadangan membenarkan murid memasuki Tahun Satu seawal usia enam tahun secara sukarela merupakan satu inisiatif yang wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Langkah ini dilihat berpotensi memberi peluang kepada kanak-kanak yang telah mencapai tahap kesediaan akademik dan emosi untuk memulakan pendidikan formal lebih awal, selaras dengan perkembangan pendidikan prasekolah dan pendedahan awal pembelajaran yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat.

Bagi memastikan hanya murid yang benar-benar bersedia dibenarkan memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun, kemasukan secara sukarela yang disertai ujian diagnostik adalah pendekatan yang munasabah. Ujian diagnostik ini berperanan menilai tahap penguasaan asas literasi, numerasi, kemahiran sosial serta kesediaan emosi murid. Pendekatan ini bukan sahaja dapat mengelakkan tekanan pembelajaran kepada murid yang belum bersedia, malah membantu guru merancang intervensi awal yang bersesuaian.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini tidak boleh dilihat secara terasing tanpa mengambil kira implikasi besar terhadap pengurusan sekolah, khususnya dari segi kapasiti dan kesesakan kelas. Pertembungan umur murid enam tahun dan tujuh tahun yang memasuki Tahun Satu pada tempoh yang sama dijangka menyebabkan lambakan kemasukan murid, terutamanya di sekolah-sekolah yang sememangnya sudah padat.

Kesiapsiagaan KPM dalam menghadapi situasi ini amat penting. Ketika ini, banyak sekolah rendah di kawasan bandar dan pinggir bandar sudah berdepan masalah kepadatan murid dalam kelas. Sebagai contoh, SKPT menunjukkan realiti sebenar yang membimbangkan. Pada tahun 2026, bilangan murid Tahun Satu di sekolah ini adalah seramai 45 orang bagi setiap kelas, melibatkan sebanyak 9 buah kelas. Jumlah ini sudah jauh melebihi saiz kelas ideal yang disarankan untuk memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Sekiranya kemasukan murid berusia enam tahun dilaksanakan tanpa perancangan rapi, SKPT dijangka akan menerima kemasukan murid Tahun Satu yang lebih ramai pada tahun 2027. Keadaan ini berpotensi memburukkan lagi kesesakan kelas, menjejaskan tumpuan murid, meningkatkan beban tugas guru, serta menyukarkan pelaksanaan pengajaran berfokus kepada murid secara individu. Dalam jangka panjang, kualiti pendidikan asas yang sepatutnya kukuh boleh terjejas.

Selain itu, kesesakan kelas juga memberi kesan kepada aspek kebajikan dan keselamatan murid. Ruang bilik darjah yang terhad, kemudahan fizikal yang tidak mencukupi serta nisbah guru-murid yang tidak seimbang boleh menjejaskan perkembangan holistik murid, khususnya murid enam tahun yang masih berada pada fasa penyesuaian diri dengan alam persekolahan formal.

Sehubungan itu, sebelum dasar kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu dilaksanakan secara meluas, KPM perlu merangka pelan strategik yang menyeluruh. Antaranya termasuk penambahan bilik darjah, pembinaan sekolah baharu di kawasan berpenduduk padat, penambahan guru terlatih, serta penetapan had maksimum bilangan murid bagi setiap kelas. Pelaksanaan dasar secara berperingkat dan bersasar juga boleh dipertimbangkan bagi mengelakkan kejutan sistemik kepada sekolah.

Kesimpulannya, kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun secara sukarela dengan ujian diagnostik mempunyai potensi manfaat dari sudut perkembangan pendidikan awal. Namun, tanpa kesiapsiagaan rapi daripada KPM dalam menangani isu lambakan murid dan kesesakan kelas, dasar ini berisiko menimbulkan lebih banyak cabaran berbanding kebaikan. Keutamaan harus diberikan kepada kualiti pendidikan, kesejahteraan murid dan keberkesanan sistem pendidikan secara keseluruhan, bukan semata-mata kepada peluasan akses awal semata-mata.

Ini adalah pandangan peribadi saya berdasarkan pengamatan situasi semasa di sekolah.

Post a Comment

Soalan lazim temu duga kerjaya dan cara menjawabnya. [Klik] Klik Di Sini!!