Pak Belalang pesan jangan jadikan lebuh raya tong sampah


Sudah ramai rakan kenalan dan jiran tetangga Belalang balik kampung untuk menyambut Aidilfitri yang tinggal beberapa hari lagi. Yang ke utara dan selatan, berpusu-pusu menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), manakala ke Pantai Timur berduyun-duyun melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Lingkaran Tengah Utama (LTU) atau Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli. Ada juga menaiki 'belon' demi berkumpul dengan ahli keluarga dan sanak-saudara di Borneo pada hari raya nanti.

Pesan Belalang, berhati-hati ketika memandu, amalkan pemanduan selamat, patuhi had laju dan ikutlah peraturan jalan raya betul-betul bukan hanya ketika nampak atau kesan polis dalam aplikasi trafik ibarat tikus tidak berdecit apabila melihatkan kucing. Ingatlah penumpang dibawa adalah ahli keluarga atau rakan taulan yang pastinya mahu selamat sampai ke kampung dan jika semua berhemah, insya-Allah kita boleh mengurangkan kadar kemalangan termasuk kemalangan maut.

Lagi satu Belalang ingatkan semua supaya bukan sahaja menjadi pengguna jalan raya yang sopan dengan mematuhi undang-undang jalan raya, bahkan jadilah juga rakyat yang ada kesedaran sivik. Malu Belalang tengok ramai yang menjadikan lebuh raya sebagai 'tong sampah terbesar' terutama ketika berhenti untuk berbuka puasa seolah-olah menjaga kebersihan tidak ada dalam ajaran agama.-Bharian

Post a Comment