Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan di Telupid, George Odol mendedahkan pengalamannya tinggal dalam stor sekolah lebih tiga tahun sejak berkhidmat di sekolah itu.

Dia yang akan bersara wajib daripada perkhidmatan perguruan pada 27 November ini, ditugaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sekolah itu pada 2020.

George menceritakan sekolah itu dibina pada 1999 tanpa rumah guru.

"Guru yang bertugas di sekolah itu terpaksa menumpang tinggal di rumah penduduk kampung dan kelas yang diubah suai.

"Oleh kerana keprihatinan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah membina dua rumah ala kadar sebagai kemudahan guru yang berkhidmat di SK Ulu Ansuan," katanya dalam kisah hidup yang disiarkan sebuah laman sosial.

George berkata pada 2020, apabila dia ditempatkan bertugas di sekolah itu, dia terpaksa tinggal dalam stor prasekolah dengan keluasan 13.4 meter persegi.

"Agak menyedihkan seorang pegawai pendidikan, pentadbir sekolah, guru besar terpaksa tinggal di rumah yang begini sahaja.

"Saya terpaksa berkongsi dapur dan kamar mandi prasekolah," katanya.

Bagaimanapun, George mengakui sedikit pun tidak kesal sebagai guru dalam kalangan etnik Kadazan Dusun yang terpaksa korbankan keselesaan menetap di kawasan pekan atau di bandar untuk datang ke sekolah pedalaman.

Tambahan pula, katanya, kebanyakan murid di sekolah kawasan pedalaman di negeri ini adalah etnik Kadazan Dusun.

"Justeru, jika bukan kami guru (dalam kalangan etnik) Kadazan Dusun datang ke sini untuk mendidik anak Dusun di sekolah pedalaman, siapa lagi yang (boleh) diharapkan," katanya yang menerima keadaan itu.

Beliau menyifatkan, ia pengorbanan mereka sebagai pendidik yang dihantar bertugas di sekolah pedalaman negeri Sabah.

Bagaimanapun, katanya, pada penghujung perkhidmatannya, sebuah rumah panjang tujuh pintu dibina di sekolah, namun beliau mengambil keputusan tidak menetap di situ dan memberi keutamaan kepada guru dari luar daerah Telupid.

-Bharian

Post a Comment