Niat baik sekumpulan remaja melindungi seorang wanita berakhir jadi mimpi ngeri apabila seorang daripada mereka maut dilibas hayunan pedang samurai.


Mengimbau kejadian 15 Disember 2016, mangsa, Yaacob Nasran, 18 tahun, sedang menghabiskan cuti di kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah.


Malam itu dia bersama abangnya Nabiel, 19 tahun, dan beberapa rakan bercadang menghabiskan masa bersama di sebuah bar di pusat bandar itu.


Bagaimanapun ketika mahu meninggalkan tempat itu, tanpa disangka-sangka berlaku insiden tragis yang tidak mungkin dapat dilupakan lapan sekawan ini.


Niat baik untuk meleraikan pergaduhan seorang lelaki dan wanita berdekatan pusat hiburan di Kompleks Asia City, Kota Kinabalu, Sabah, bertukar menjadi tragedi hitam.


Kasihan melihat wanita itu mula dipukul dan dalam keadaan kesakitan, lapan sekawan ini mula masuk campur dengan menegur suspek.


Seorang rakan wanita mangsa cuba mendekati untuk meleraikan pergaduhan itu, bagaimanapun kehadirannya umpama menyimbah minyak ke atas api apabila suspek bertindak agresif mahu memukulnya pula.


Ketika itulah Yaacob terus meluru cuba membantu rakannya sebelum mata pedang singgah ke dahi dan lehernya. Abang dan seorang lagi rakannya turut cedera terkena libasan itu.


Biarpun dirinya sudah tidak berdaya dengan tubuh yang berlumuran darah, Yaacob sempat berpatah balik untuk melihat abang dan rakan-rakannya.


Pada saat itulah dia sempat menitipkan pesanan kepada salah seorang rakan yang memapahnya dengan ungkapan “take care” sebelum menghembuskan nafas terakhir.


Enam suspek ditahan!


Hasil maklumat diterima, Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, pihaknya menahan dua suspek dalam kejadian itu di sebuah rumah di Bukit Padang, Luyang, Kota Kinabalu kira-kira jam 9 pagi.


M Chandra berkata, kedua-dua suspek yang berumur 20-an itu direman selama 7 hari sehingga 22 Disember 2016.


Polis turut menahan bekas isteri suspek, pengurus dan dua penjaga pusat hiburan berkenaan bagi membantu siasatan.


Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Bertengkar dengan bekas isteri


Hasil siasatan pihak berkuasa, suspek utama, Mohd Azmin Lidin, 28, yang bekerja sebagai pengawal kelab malam atau ‘bouncer’ bertengkar dengan bekas isterinya yang juga pelayan pusat hiburan di situ.


Tiada pengakuan tertuduh direkodkan

 

Tanggal 23 Disember 2016, suspek utama kes bunuh pelajar sebuah kolej di ibu negara itu, didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.


Tertuduh, Mohd Azmin Lidin, 28, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Yaacob Nasran, 18, antara jam 3.30 pagi hingga 4.30 pagi 15 Disember 2016 di luar pusat hiburan Siam Thai Bar, Jalan Asia City, Kota Kinabalu, Sabah


Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.


Jessica kemudiannya menetapkan 7 Februari 2017 bagi sebutan semula kes, sementara menunggu laporan berhubung kes berkenaan.


‘Bouncer’ ke tali gantung


Lebih setahun dibicarakan, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Mei 2018 akhirnya mendapati Mohd Azmin bersalah membunuh seorang remaja dalam kejadian sekitar jam 4 pagi itu.


Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap tertuduh yang ketika itu berusia 30 tahun.


Turut hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan kes itu ialah keluarga mangsa, termasuk ibu bapanya Nasran Harun, 55, dan Kee Faridah Kassim, 57.


Keadilan buat keluarga


Tertuduh yang dibawa keluar dari bilik mahkamah turut dilihat berhenti dan berkata kepada keluarga mangsa, “bukan saya yang bunuh anak kamu. Kamu tersalah orang”.


Sementara itu, ketika ditemui ayah mangsa mengucapkan terima kasih kepada yang menyokong keluarga itu dan menyifatkan keadilan sudah dituntut.


Semoga paparan kisah kali ini dapat dijadikan panduan dan iktibar kita bersama.

 

Sama-sama kita hadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Yaacob Nasran.



Sumber : @SinarOnline

Post a Comment

Soalan lazim temu duga kerjaya dan cara menjawabnya. [Klik] Klik Di Sini!!