Sistem pendidikan boleh musnah jika guru dibebani dengan tugas-tugas yang menyebabkan mereka terabai daripada kerja hakiki dalam mendidik anak bangsa serta tidak diberi pengiktirafan sewajarnya.


Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, agenda dan kualiti pendidikan tidak boleh  dikompromi serta dikorbankan kerana pembangunan negara bergantung kepada rakyat yang dibentuk oleh guru-guru.

Titah baginda, agenda pembangunan insan juga wajib mendahului agenda pembangunan lain kerana terdapat kajian menunjukkan peradaban sesuatu bangsa boleh hancur jika institusi keluarga, pendidikan dan keteladanan tokoh serta ulama hancur.

"Terbukti apabila sesebuah negara yang mengutamakan agenda pendidikan dan menyifatkan perbelanjaan pendidikan sebagai pelaburan yang memberi peluang dividen besar merupakan negara yang memiliki warganegara bijak." titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada majlis Santapan Tengah Hari dalam meraikan warga pendidik sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri Perak 2017 di Istana Iskandariah di sini semalam.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Negeri Perak kepada bekas pengetua Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping, Rahimah Mohd. Sura 64 tahun yang sudah berkhidmat selama lebih 34 tahun sebagai pendidik.

Post a Comment