Keselamatan taman permainan wajar dipertingkat

APABILA kita pergi ke taman permainan di kawasan perumahan, sering kali didapati peralatan permainan di situ rosak akibat kegiatan vandalisme.

Sering juga didapati, bukan kanak-kanak sahaja yang bermain dengan peralatan permainan berkenaan, malah turut digunakan orang dewasa. Hal ini menyebabkan ia mengalami kerosakan.

Permainan adalah komponen terpenting untuk sosial, emosi, kognitif, perkembangan fizikal kanak-kanak dan kekreatifan serta daya imaginasi. Oleh sebab itu, taman permainan memainkan peranan utama dalam perkembangan kanak-kanak. Semua ibu bapa menghendaki taman permainan adalah selamat untuk kanak-kanak dan bebas daripada bahaya kecederaan.

Dalam satu kajian mendapati 3,000 kes kecederaan berlaku di taman permainan dalam tempoh setiap tiga bulan di negara kita. Kecederaan sedemikian secara amnya membabitkan kanak-kanak berumur antara lima hingga sembilan tahun. Permukaan taman permainan kerap kali dikenal pasti sebagai faktor penyumbang utama kecederaan.

Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka mengamalkan langkah keselamatan ketika bermain di taman permainan. Mereka juga perlu melaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya ada peralatan di taman permainan itu, tidak selamat.

Prihatin keselamatan anak

Satu kajian lain pula menunjukkan ibu bapa, tidak kira tahap pembelajaran, umur, jantina atau keturunannya, amat prihatin terhadap keselamatan anak mereka. Dengan mengambil kira pemahaman ibu bapa terhadap reka bentuk persekitaran taman permainan kanak-kanak yang efektif dan terbaik, maka kajian ini juga menunjukkan ibu bapa turut pertimbangkan komponen reka bentuk landskap termasuk papan tanda sesuai, laluan basikal berasingan dan halangan fizikal seperti pagar dan pelindung untuk melindungi kanak-kanak daripada terbabit dalam kemalangan serta mendapat kecederaan di dalam kawasan taman, padang bola sepak atau taman permainan.

Di samping itu, mereka juga berpendapat bahawa mereka bentuk semula taman permainan di kawasan perumahan dengan kemudahan tambahan untuk pengawasan yang terbaik dengan membaik pulih lampu untuk memudahkan pengawasan pada waktu malam supaya taman permainan selamat daripada kegiatan tidak sihat.

Memandang isu ini, langkah Jabatan Standard Malaysia untuk membuat semakan semula skop dan keperluan MS 966:2001 (Peralatan Taman Permainan) adalah tepat pada masanya. Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran aspek keselamatan dalam kalangan pihak yang terbabit dalam pemasangan dan penyelenggaraan peralatan permainan di taman permainan.

Selain itu, standard ini diperlukan untuk melindungi peranan, tanggungjawab dan liabiliti semua pengguna standard MS 966, seperti pengusaha, pembeli dan pemasang peralatan, pemaju dan pemilik taman permainan, pegawai sekolah, pereka bentuk taman permainan, arkitek, kakitangan taman rekreasi dan orang awam (seperti pemeriksa yang bertauliah, ibu bapa dan pihak sekolah) yang prihatin terhadap keselamatan orang awam di taman permainan.

Adalah diharapkan supaya MS966:2001 (Peralatan Taman Permainan) yang disemak semula ini akan memastikan keselamatan taman permainan pada era baru di Malaysia. Kerjasama dan sumbangan yang strategik daripada pelbagai pihak amat diperlukan dalam menjayakan semakan semula dan pelaksanaan MS966:2001 (Peralatan Taman Permainan).


Seorang pakar keselamatan taman permainan kanak-kanak yang bertauliah, Noriah Mat, mengatakan bahawa keadaan taman permainan kanak-kanak di Malaysia tidak mempunyai perubahan yang banyak sejak 20 tahun lalu. Secara amnya, taman permainan kanak-kanak di negara kita memenuhi kehendak Standard Malaysia - MS 966:2001 dan Standard Antarabangsa dan Pertubuhan Amerika untuk Ujian dan Bahan 1991.

Perlu kaji selidik

Di samping itu, Noriah juga mengatakan bahawa satu kaji selidik di seluruh negara perlu dilakukan bagi mengenal pasti taman permainan kanak-kanak mematuhi standard keselamatan ditetapkan

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/94195


Post a Comment