Pengetua sebagai pemimpin sekolah perlu memainkan peranan sebagai kepimpinan profesional.Kecemerlangan dan kelestarian kepemimpinan bermula dengan peranan pengetua.Pengetua yang mempunyai kualiti dan tret atau ciri peribadi yang baik akan dapat mempamer gaya kepemimpinan yang baik, cemerlang, berkesan dan lestari.

Pengetua mesti memiliki kredibiliti dan kompeten dengan kemahiran pentadbiran, pengurusan dan kepemimpinan.Oleh itu pengetua akan mendapat kepercayaan, kebergantungan, keyakinan , sokongan, kesepakatan bekerja dan dapat meningkatkan kesetiaan serta komitmen daripada anggota organisasi, pelanggan dan stakeholders.

Pengetua sebagai kepimpinan pendidikan di sekolah bertanggungjawab dan diamanahkan kemenjadian murid-muridnya untuk memperolehi ilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi dan memiliki kepintaran pelbagai (Multiple Intelligence),bersahsiah cemerlang serta dapat menjadi sumber tenaga kerja yang compatible dengan pasaran kerja dan menjadi modal insan kelas pertama.

PERANAN PENGETUA

1. Pengetua sebagai pemimpin utama di peringkat sekolah diberi peranan melaksanakan pendidikan berkualiti dan cemerlang.Oleh itu pengetua perlu berusaha meningkatkan dan memantapkan tahap profesionalime dengan memiliki dan mengamalkan Ilmu Teori Pengurusan Sekolah terkini.Ilmu Teori Pengurusan Sekolah yang dimiliki akan membantunya bersikap profesional. Pengetua akan dapat bertindak tangkas dan berkesan serta membuat keputusan berteraskan etika dan moral professional pendidikan. Sekaligus dapat menangani segala isu kependidikan dan dapat menyelesaikan masalah sekolahnya dengan pemikiran rasional secara profesional.Keadaan ini berbeza dengan pengetua di zaman pra-merdeka yang melaksanakan tugas semata-mata mentadbir dan mengurus sekolah. Pengetua tersebut terjebak dengan tugas rutin dan formal serta bergantung kepada naluri, stail kepimpinan dan perwatakan sendiri.

2. Pengetua secara tersurat memainkan peranan sebagai ketua pentadbiran, pengurus dan pemimpin sekolah. Melaksana tugas menyelia pelaksanaan kurikulum sekolah selaras Dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan, menyelia pelaksanaan program pendidikan sekolah dan memberi khidmat sokongan, memberi kepimpinan profesional kepada semua staf sekolahnya dan mempereratkan kerjasama pihak sekolah dengan masyarakat melalui organisasi seperti Persatuan Ibubapa dan Guru.
Perubahan pesat dalam pendidikan di Malaysia dekad ini telah mendesak pengetua melaksana perubahan menjadi kepimpinan instruksional dengan menguasai aspek-aspek teknikal pengajaran dan pembelajaran, melaksana penyeliaan pengajaran dan pembelajaran guru di bilik darjah, mentadbir dan mengurus perhubungan kemanusiaan serta melaksana inovasi pendidikan ke arah membina generasi baru yang berupaya menghadapi cabaran-cabaran abad ke-21.

3. Pengetua semestinya tidak boleh hanya berperanan sebagai pentadbir dan pengurus sahaja. Pengetua mesti bertindak sebagai pemimpin pendidikan di sekolahnya.Kepemimpinannya menentukan halatuju sekolahnya.Kepemimpinannya mencorak citra sekolahnya. Peranannya mengarah, mengelola, menyelia, membimbing dan menyelesai masalah bersama guru dan staf sokongan akan memancu ke arah pencapaian visi sekolah. Stail kepimpinan yang berlandaskan prosedur kerja sahaja dan berpegang kepada pendirian bahawa pengetua sentiasa betul dan benar tidak sesuai diamalkan. Pengetua perlu menggunakan kreativiti dengan menghayati reflective rationality dan semangat syura yang berorientasi pelanggan. Pengetua sebagai the central figure dalam pentadbiran dan pengurusan sekolah berperanan sebagai pemimpin instruksional serta menjadi tempat rujukan, pakar runding, tempat berbincang dan berbicara, tempat rujukan, tempat mendapat khidmat nasihat sebagai kepimpinan instruksional.

4. Pengetua sebagai peneraju sekolah mesti memahami dengan jelas konsep dan idea yang boleh dijadikan asas dan panduan dalam mengurus sekolah.Di antaranya Sekolah Berkesan, Sekolah Berwatak, School view, Class view, Back to basic, Guru mengajar-Murid belajar dan Let manager’s manage dan seumpamanya. Pengetua mesti boleh memahami isu-isu pendidikan dan persekolahan agar dapat merealisasi pendidikan berkualiti untuk murid-murid di sekolahnya. Di samping itu dapat melahirkan the gentlemen, scholars and sportman melalui perancangan strategik sekolah.

5. Pengetua berperanan sebagai role model dan dapat mendorong guru berusaha dengan penuh keghairahan melaksana misi bagi mencapai visi sekolah dengan menjalin dan mengadun tenaga guru dalam satu pasukan kerja. Pengetua memberi inspirasi dan motivasi kepada guru untuk bekerja secara sukarela dan dalam suasana ceria serta berasa kepuasan apabila aktiviti sekolah dapat dilaksana dengan berkesan dan mencapai hasil yang cemerlang berdasar KPI yang telah ditetapkan.

6. Pengetua berkeupayaan melaksana permuafakatan strategik pendidikan di antara PIBG dan NGO yang terlibat secara langsung dengan usaha pembangunan dan kemajuan pendidikan termasuk agensi kerajaan dan swasta. Permufakatan strategik pendidikan dilakukan menerusi aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh warga sekolah dengan pihak yang dilibatkan dalam hal yang disepakati dan dilaksanakan sesuai dengan keperluan dan kemudahan di peringkat sekolah. Permuafakatan strategik pendidikan perlu ada networking, kepakaran, sumber, kemudahan, pengalaman intitusi dan organisasi. Kemudian dibina pasukan petugas menjayakan satu-satu usaha yang telah disepakati bersama. Pemuafakatan strategik pendidikan mesti diinstitusikan agar berlangsung secara berkekalan dan berterusan serta sentiasa dibugarkan.

7. Pengetua mesti membuat analisis swot dan analisis persekitaran sekolahnya.Mengenalpasti kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang di sekolahnya. Sekaligus menyusun perancangan dan langkah menangani kelemahan dan ancaman.Mengembleng kekuatan dan menggunakan peluang yang ada mengatasi kekangan-kekangan di sekolah dan persekitarannya dengan mengarca , memeta dan merencana visi dan misi melalui pelaksanaan perancangan strategik sekolah. Visi dan misi sekolah dipersembahkan dalam bentuk mudah difahami dan boleh diterima serta dihayati bersama oleh seluruh warga sekolah. Pengetua mesti berkeupayaan menggunakan kedudukan, pengaruh, kebijaksanaan, berkeupayaan memujuk, kekuatan menggerak dan kemahiran mengurus, mentadbir dan memimpin serta melentur perbezaan dan kelainan di kalangan guru sekolahnya.

8. Pengetua berperanan mewujudkan dan melaksana perkhidmatan penyayang di sekolah. Pengetua menghargai dan mengiktiraf perkhidmatan yang diberikan oleh warga sekolah. Perkhidmatan penyayang boleh memotivasi dan membangkit serta menbugarkan semangat guru-guru bekerja dan melahirkan perasaan penghormatan kepada kepemimpinan pengetua.


BEBERAPA CIRI PENGETUA BERKESAN

1. Pengetua memiliki sense of mission dan sense of purpose, berwawasan, jelas halatuju dan matlamat yang hendak dicapai oleh sekolah melalui pernyataan visi dan misi sekolahnya.Berkeupayaan menjelaskan kepada warga sekolah dan komuniti setempat tentang visi dan misi sekolah dengan amalan walk the talk iaitu kepimpinan melalui teladan. Bertindak sebagai strategist yang berkesan dan memiliki kecekapan merangka strategi supaya dapat menjamin visi dan misi yang tersurat dan tersirat tercapai.Berupaya mengemblengkan segala sumber yang ada di sekolah secara maksimum dan bertindak pantas menangani kekurangan dan kekangan yang akan mengagalkan pencapaian visi.

2. Pengetua menjadi ketua guru dan ketua pedagogi serta mempunyai kemahiran membimbing guru dan bertindak sebagai pedagogical innovator. Mempunyai personaliti dan kekuatan minda dari segi intelek dan ilmu bagi menghadapi cabaran serta dapat membuat keputusan dengan tangkas dan tepat.

3. Pengetua memiliki kemahiran berkomunikasi interpersonal dengan baik dan berfikir reflaktif, kreatif dan konstruktif serta beriltizam,beristiqamah dan sanggup bermujahadah dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab.Pengetua yang berkemahiran komunikasi dan diplomasi boleh meraih sokongan guru dan sekaligus menggalakkan penglibatan ibubapa serta komuniti setempat dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan sekolah.

4.Pengetua berpijak pada landasan yang tepat dan disokong oleh sifat muaddib, murrabbi dan mursyid serta memiliki sahsiah bercirikan insan cemerlang. Bijak memimpin, berakhlak terpuji, mempamer teladan yang baik dan berketrampilan serta bersikap amanah, bertanggungjawab, proaktif dan bersikap profesional.

5. Pengetua diiktiraf dan mendapat pengiktirafan umum bahawa sekolah yang ditadbir, diurus dan dipimpinnya menepati konsep sekolah dan tidak dipesepsikan dengan gambaran lain. Seiring dengan pengiktirafan perlu mempunyai iklim dan persekitaran kondusif dan kemantapan pencapaian akademik yang lahir sebagai satu pembudayaan atau etos sehingga wujud perhubungan yang harmoni di kalangan warga sekolah, pelanggan dan stakeholders.

6. Pengetua mempunyai stail kepemimpinan yang dapat menarik sokongan dan kerja sepasukan, berpesonaliti, ada ketokohan dan world view pendidikan yang luas.Pengetua berkelulusan, berilmu dan berkemahiran berkaitan Ilmu Teori Pengurusan Sekolah yang tinggi dan boleh digunasama. Pengetua mempunyai komitmen tinggi dan mendapat pengiktirafan guru, murid dan komuniti setempat serta mempunyai kesihatan yang baik dan sihat dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.


MASALAH DAN CABARAN PENGETUA KINI

1. Pengetua bersikap kurang peka dan kurang positif terhadap memajukan diri dari segi keilmuan profesional, lemah peribadi dan gaya kepemimpinan serta mempunyai mutu kepimpinan yang lemah.Pengetua berprestasi rendah memiliki kekurangan dari segi kemahiran untuk mengenalpasti amalan pengajaran berkesan. Ada Pengetua yang tidak dapat memberi sokongan atau bimbingan pedagogi secara terperinci kepada guru oleh sebab mereka kurang pengetahuan yang diperlukan.

2. Pengetua tidak dapat memberangsangkan dan memotivasi guru untuk meningkatkan kecekapan sebagai kepimpinan bilik darjah dalam proses pengajaran dan pembelajaran murid.

3. Pengetua kurang memberi tumpuan khusus melaksana tugas sebagai kepimpinan instruksional.Penyeliaan dan pencerapan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah bukan agenda utama.Kebanyakannya hanya melaksana tugas rutin sebagai pentadbir sekolah dan ceremony leaders sahaja.

4. Pengetua menghadapi masalah kekurangan resos bahan, ruang, kewangan dan manusia yang membantut kemajuan sekolah. Masalah ini amat ketara di kalangan pengetua sekolah di luar bandar. Keadaan menjadi kronik bila mana pengetua kurang menjalin hubungan dan tidak mendapat sokongan ibubapa dan masyarakat setempat.Dengan sumber terhad tidak ada banyak tugasan dapat dilaksana.Sekolah itu menjadi sinking school.

5. Pengetua melaksana tugas sebagai pentadbir dan pengurus sekolah mengikut kebiasaan dan kelaziman. Mereka terperangkap dengan kerja-kerja biasa dan tugas-tugas rutin. Kerja perancangan kurikulum, pengurusan pedagogi, perencanaan ko-kurikulum berkesan dam pemasyarakatan sekolah tidak diberi tumpuan serta tidak termasuk dalam jadual kerja pengetua.

6. Pengetua kurang pengetahuan dalam bidang pengurusan strategik dan tidak biasa mengamalkan budaya R&D dan tidak melaksana cara-cara pengurusan moden serta tidak melaksanan pemuafakatan Smart Partnerships untuk manafaat sekolah.

7. Pengetua kebanyakannya berumur lebih 50 tahun ke atas dan sentiasa terdedah kepada masalah kesihatan. Pengetua yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai tugas dan segala macam masalah serta beranika kekangan akan mudah terdedah kepada stres yang akan menganggu tugasan sebagai kepimpinan sekolah berkesan.

8. Pengetua terperangkap dalam sempadan sekolahnya sendiri dan tidak melaksanakan dasar pintu terbuka dengan mengadakan koloboratif dengan rakan pengetua lain. Tidak berusaha untuk berkongsi pengalaman dan idea baru. Pengetua secara sedar atau tidak sedar telah membina sempadan lingkungan kerja sendiri. Berasa selamat atau terasing sama ada mempertahankan sempadan yang memagari atau memencil serta mengasing sekolah. Pemuafakatan strategik dengan pihak yang boleh memberi keberkesanan dan keberhasilan program pendidikan sekolah dirasakan akan mengancam kewibwaan sendiri atau ada rasa malu sendiri.


KESIMPULAN

Pengetua memainkan peranan penting ke arah menjadikan sekolahnya sebagai sekolah berkesan.Pengetua menjadi faktor penentu kejayaan sekolah.Kepemimpinan pengetua akan menentukan kemenjadian sekolah berkesan.Sekolah itu menjadi moving school.Ibubapa dan murid menaruh harapan yang tinggi kepada sekolah itu.

Sekolah berkesan ialah sebuah sekolah yang berjaya menghasilkan murid yang berjaya dalam aspek akademik, ko-kurikulum, pembangunan sahsiah dan kemahiran sosial melalui pemupukan budaya tradisi dan watak sekolah itu sendiri.

Peter Mortimer (1995) telah mengemukakan sebelas faktor sekolah berkesan.

1. Kepimpinan profesional.
2. Perkongsian visi dan matlamat.
3. Persekitaran pembelajaran.
4. Tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran.
5. Pengajaran bermatlamat.
6. Harapan yang tinggi terhadap pencapaian pelajar.
7. Pengukuhan positif.
8. Pemantauan kemajuan.
9. Hak dan tanggungjawab pelajar.
10. Hubugan rapat keluarga – sekolah.
11. Organisasi pembelajaran.

Sekolah berkesan mempunyai pengetua sebagai kepimpinan instruksional yang memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran bermatlamat. Pengetua berkemahiran mengurus perubahan sekolah dari segi konsep dan idea kepada perlakuan dan tindakan serta mengadunkan faktor-faktor di bawah kawalan kepada perubahan pendidikan berkualiti. Sekolah menjadi moving school yang dianggap sebagai sekolah berkesan.Sekolah berkesan akan menjelmakan perwatakan tersendiri melalui etos sekolah.Murid-murid akan dibentuk supaya mempunyai perwatakan cemerlang seperti berbudi pekerti mulia, berpegang kepada prinsip agama dan Tuhan, berilmu dan mempunyai tahap intelektual yang tinggi, memilikki ketahanan fizikal, semangat kesukanan (sportmanships) dan kegiatan luar dengan berpaksi disiplin yang kental. Sekolah boleh menjadi sekolah berkesan apabila pengetua menjadi pengetua berkesan.


Post a Comment

Khusus untuk anda yang dipanggil temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. [Klik] Klik Di Sini!!