TIDAK dinafikan, untuk menjadi pengguna yang berhemah dan bebas hutang, melakukan pinjaman peribadi tidak digalakkan kerana ia bakal membawa kepada kancah hutang yang lebih besar.

Banyak penasihat kewangan tidak menggalakkan anda untuk melakukan pinjaman peribadi, namun dalam realiti dunia sebenar, mahu atau tidak, ada ketikanya kita perlu melakukan pinjaman peribadi atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

Melalui pemerhatian, tidak salah rasanya jika ingin melakukan pinjaman peribadi. Apa yang penting adalah komitmen anda membayar semula pinjaman setiap bulan.

Jika anda seorang yang berdisiplin dalam melakukan pembayaran semula hutang setiap bulan, tidak salah rasanya jika melakukan pinjaman peribadi.

Tanya dulu diri anda sebelum melakukan pinjaman peribadi, adakah anda bersedia dengan bebanan hutang dan apakah yang perlu anda tahu sebelum memohon pinjaman peribadi. Ditambah pula dengan lambakan institusi perbankan yang berlumba-lumba mencari pelanggan dan memberikan keistimewaan kepada anda untuk melakukan pinjaman dengan mereka.

Tawaran yang terbaik adalah penting, perlu masa untuk mencari institusi perbankan yang menawarkan kadar faedah bayaran semula yang rendah.
Sebelum anda membuat pilihan, ketahui dulu beberapa petua yang perlu diberi perhatian. Banyak pinjaman peribadi mengenakan syarat kelayakan yang ketat. Antaranya:

  • Umur melebihi 21 tahun (ini berbeza mengikut bank - sesetengah bank menerima pemohon pinjaman yangberumur 18 tahun atau lebih)
  • Warganegara Malaysia atau mempunyai status penduduk tetap (PR)
  • Mempunyai akaun bank yang masih aktif
  • Mempunyai pendapatan tetap/gaji atau bekerja sendiri


KADAR FAEDAH RATA

Pada asasnya, kadar faedah rata ialah faedah yang dikenakan ke atas peminjam (jumlah yang dipinjam) sepanjang tempoh pinjaman.

Walaupun pengiraannya agak mudah, peminjam selalunya tidak perasan bahawa melalui pengiraan kadar faedah rata, faedah sentiasa dikenakan berdasarkan jumlah pinjaman asal anda.

Oleh itu, tak kira berapa banyak jumlah yang telah anda bayar, anda (peminjam) masih perlu bayar faedah penuh seperti yang dikira pada permulaan pinjaman anda.

Satu contoh bagaimana kadar faedah rata dikira: katakan anda ambil pinjaman sebanyak RM10,000 dengan kadar faedah yang rata sebanyak 10 peratus setahun.

Caj faedah akan menjadi RM1,000 setiap tahun sehingga keseluruhan jumlah pinjaman diselesaikan atau dibayar balik (iaitu kadar faedah sebanyak RM1,000 setiap tahun tanpa mengira baki pinjaman anda).

YURAN UNTUK PEMBAYARAN BALIK AWAL

Sesetengah pemberi pinjaman akan mengenakan penalti terhadap peminjam yang ingin membayar sepenuhnya pinjaman peribadi mereka lebih awal dari tempoh yang dipersetujui.

Ini kerana ia akan menyebabkan pemberi pinjaman gagal mendapat kadar faedah penuh yang akan didapati jika peminjam meneruskan pinjaman mengikut tempoh penuh.

Yuran pembayaran awal selalunya adalah peratusan (sekitar dua peratus hingga tiga peratus) yang dikenakan ke atas baki pinjaman tertunggak pada masa pembayaran balik penuh.

CAJ PEMBAYARAN LEWAT

Jika anda gagal buat pembayaran balik pinjaman bulanan anda pada masa yang ditetapkan, anda mungkin akan dikenakan yuran bayaran lewat.

Di samping itu, ada dua perkara yang mungkin berlaku. Pertama, pemberi pinjaman ada hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap anda. Kedua, bank boleh memotong mana-mana baki kredit dari akaun bank anda (dengan syarat ia adalah bank yang sama) untuk mengimbangi jumlah yang anda terhutang dalam pinjaman anda.

Jika peminjam mendapatkan pinjaman bercagar, bank boleh menarik balik aset yang ditetapkan sebagai cagaran.


Sumber : www.sinsrharian.com.my



Post a Comment