SHAH ALAM - Isu mengaitkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Pelbagai kelemahan sistem tersebut didedahkan termasuk ia dikatakan menambah beban guru selain menjadikan pelajar seperti ‘tikus makmal’.

Setelah banyak rungutan dibangkitkan, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan menangguhkan capaian terhadap SPPBS sehingga 31 Disember ini untuk penambahbaikan.

Meskipun begitu, ia tidak dilihat sebagai jalan penyelesaian kerana sistem PBS itu sendiri memberi kesan kepada guru dan pelajar.

Ikuti temu bual Sinar Harian Online dengan Ketua Gerak Kerja Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari bagi menjelaskan lebih lanjut isu tersebut.

SINAR HARIAN ONLINE : Apa sebenarnya isu berbangkit yang melibatkan SPPBS dan PBS?

NOR IZZAT : PBS ini sudah sampai ke tahap paling kemuncak setelah masuk tahun ketiga ia dilaksanakan. Tahun pertama dan kedua, masalah sama berulang cuma tidak mendapat perhatian kerana kita tahu cikgu-cikgu ini takut untuk bersuara. Jadi, saya dan pasukan saya (SGMM), kami kata mungkin untuk tahun pertama dan kedua itu beri peluang untuk sistem itu dilaksanakan sebab kita tahu sistem ini sistem yang baru tapi apabila tahun ketiga, masalah ini tetap berulang. Ia semakin memuncak apabila kebanyakan guru di sekolah ditekan oleh pentadbir dan pentadbir pula ditekan oleh pihak atasan antaranya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan JPM untuk menyiapkan proses kemasukan ‘band’ kepada murid dalam sistem online.

Apabila perkara itu berlaku, saya dan pasukan (SGMM) buat keputusan untuk ambil tindakan yang drastik terhadap isu ini supaya semua sedar bahawa sebenarnya ada kepincangan dalam sistem pendidikan yang baru ini.

Sehubungan itu, kami ada buka satu akaun ‘page’ di laman sosial Facebook ‘Kami Mahu SPPBS Dimansuhkan’ pada 30 Oktober lalu. Pada awalnya, guru-guru takut nak ‘like page’ itu kerana kita tahu guru-guru terikat dengan klausa kami yang menurut perintah. Jadi, mereka takut dikenakan tindakan tatatertib. Apabilakita keluarkan fakta, keluarkan perkara yang memang sedang berlaku, akhirnya ramai guru yang sokong malah masyarakat umum juga ada yang sokong.  Setakat hari ini sudah mendapat lebih 52,000 ‘like’. Itu bukan satu kejayaan tetapi satu suara yang menunjukkan bahawa kita guru-guru bukan nak merungut, bukan nak mengadu domba tapi kita nak menyatakan ada sedikit kepincangan yang berlaku dalam sistem pendidikan yang sedang berjalan ini.

Rasanya semua tahu bahawa tidak ada lagi dalam sejarah guru-guru dipanggil untuk membuat satu perbincangan berkaitan dasar pendidikan daripada dulu lagi. Tapi kini, guru-guru mungkin sepatutnya ada yang boleh diketengahkan yang boleh dibawa kepada kementerian untuk berbincang tentang dasar penambahbaikan atau cadangan. Sebelum ini tak ada, jadi, melalui surat rasmi yang saya hantar itu kita minta supaya kementerian menerima kita untuk berbincang untuk mencari jalan penyelesaian, bagaimana kita nak selesaikan masalah SPPBS iaitu sistem online dan PBS itu sendiri. PBS kita ada banyak masalah yang timbul tapi perkara itu guru-guru anggap ia perkara yang masih boleh ditangani lagi tapi apabila sudah sampai tahap maksimum, guru-guru sudah mencuba yang terbaik tetapi masih tak mampu, itu yang kita nak suarakan.

SINAR HARIAN ONLINE : Jadi, apa status surat berkenaan?

NOR IZZAT : Saya dah hantar surat itu melalui e-mel kepada kementerian. Saya mendapat tahu surat itu sudah diterima pihak KPM, cuma tidak ada maklum balas daripada mereka sehingga hari ini. Kami sudah bersedia untuk berjumpa dengan pihak KPM sendiri untuk bincang mengenai isu ini. Isu ini sudah dijawab dalam Parlimen tetapi jawapan yang diberi Timbalan Menteri I dan Timbalan Menteri II tidak menjawab kepada persoalan yang diajukan. Mereka hanya menjelaskan teori pelaksanaan PBS itu sendiri.

SINAR HARIAN ONLINE : Boleh jelaskan SPPBS, PBS secara ringkas?

PBS ini pentaksiran berasaskan sekolah iaitu ia dijalankan di dalam kelas. Pentaksiran ini berlaku apabila selesai Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) dalam kelas. Proses belajar dalam kelas itu diakhiri dengan PBS. Maknanya, kita tak ada peperiksaan. Pelajar terus dinilai selepas sesi (P&P) dan diberikan ‘band’ kepada setiap pelajar.

Bagi SPPBS pula adalah sistem yang menyokong PBS itu untuk setiap kali selesai guru mengajar dan mentaksir pelajar, guru akan masukkan markah pelajar secara ‘online’. Berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas, mereka berikan tempoh yang tertentu. Contohnya penggal pertama, Januari hingga Mac, kemudian ia ditutup walaupun ada guru yang tak sempat masukkan.

SINAR HARIAN ONLINE : Perbezaan sistem dahulu dengan sekarang?

NOR IZZAT : Sistem PBS ini kita terima sebenarnya. Pada awalnya...sistem ini di atas kertas cantik tapi apabila sampai kepada pelaksanaannya di sekolah-sekolah, ia mengalami banyak masalah dan timbul perkara yang di luar jangkaan kementerian. Saya pun tak pasti sama ada mereka sudah memikirkan masalah itu atau tidak tetapi perkara itu berlaku kerana sistem ini diambil...saya difahamkan daripada Australia kemudian dibawa masuk ke Malaysia dan hanya melalui perbincangan selama lima tahun. Kemudian satu percubaan dilakukan di sekolah-sekolah yang saya dimaklumkan di Melaka tapi sekolah-sekolah itu hanya dijalankan selama beberapa bulan dan tak sempat mendapat hasil, terus dilaksanakan serta-merta pada 1 Januari 2011. Di situ, kita nampak mereka terburu-buru melaksanakan sistem PBS itu sendiri.

Sistem guru yang berorientasikan peperiksaan mungkin ada kelemahan dan sepatutnya pihak kementerian membuat penambahbaikan kepada kelemahan sistem tersebut. Tetapi apa yang berlaku, mereka tukar dasar dan menetapkan satu sistem yang baru. Akhirnya sistem baru itu telah mendatangkan kepincangan dalam sistem pendidikan sendiri.

SGMM ada langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan. Kita mahu PBS ini dilaksanakan. Kita ada pelan B pula iaitu jika mahu mansuhkan PBS, apa yang akan digantikan dengan sistem baru. Iaitu tetap dengan sistem peperiksaan tetapi kita ambil seperti di universiti. 70 peratus teori dan 30 peratus praktikal. Itu lebih berkesan tapi perlu dikaji dengan lebih teliti.

Tapi, jika mahu diteruskan dengan sistem PBS itu, kita ada langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah itu. Saya yakin KPM tahu apa langkah-langkahnya. Antaranya, nisbah guru dengan murid dalam kelas. Berdasarkan laman web KPM, nisbah guru dengan murid adalah 1:13 atau 14. Maklumat terkini yang saya dapat daripada rakan-rakan guru, 1 :  40 hingga 55 orang murid setiap kelas. Jadi, ini memang tidak relevan dengan sistem PBS yang diambil. Di Australia, 1 : 12 atau 15 orang.

SINAR HARIAN ONLINE : Sistem itu sedang melalui penambahbaikan seperti yang dimaklumkan KPM ekoran mengalami masalah ‘server’. Mungkin selepas ini sistem itu akan pulih.

NOR IZZAT : Masalah dalam sistem SPPBS pula adalah masalah server. Perkhidmatan yang disediakan itu tidak sekata dengan bajet yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia untuk sistem pendidikan yang baru ini. Jadi, mereka nak upgrade dan akan buka semula sampai awal tahun depan. Kita tak tahu sejauh mana mereka mahu jalankan penambahbaikan itu. Tahun pertama sistem ini dilaksanakan, pernah juga kementerian kata nak tambahbaik sistem tapi 2013 tetap berlaku perkara yang sama. Jadi, kita tak pasti sama ada sistem itu ditambah baik secara maksimum atau penambahbaikan itu secara perlahan-lahan.

Masih ramai guru-guru yang tidak dapat memasukkan markah pelajar bukan sahaja itu, termasuk juga sistem-sistem lain yang melibatkan server yang sama.

Jadi, saya tak tahu sejauh mana penambahbaikan itu berlaku, tapi saya yakin masalah ini akan berulang kerana nisbah yang akan berlaku dalam proses kemasukan band itu sendiri akan menyebabkan berjuta kalau tak silap saya kerana ada nisbah iaitu 1 guru 40 pelajar kali dengan beberapa kelas lagi yang diajar mungkin minimum tujuh kelas. Jadi, di situ tujuh kelas didarabkan dengan berapa orang guru dalam satu sekolah kemudian darab dengan berapa sekolah dalam Malaysia. Penggunanya tetap ramai dan akan bertambah lagi tahun depan tapi proses untuk kemasukan sistem itu tetap dan mungkin akan menjadi masalah lagi. Saya yakin, kalau jadi masalah, itu yang kami akan bersuara lebih lantang. Kita nak buktikan bahawa memang server itu ditambah baik tetapi tidak ada penyelesaian.

SINAR HARIAN ONLINE : Kesan kepada pelajar?

NOR IZZAT : Dulu kita tengok pelajar-pelajar kita lebih menjurus kepada peperiksaan semata-mata dan mereka hanya memberi tumpuan kepada peperiksaan. Hasilnya, ada pelajar yang cemerlang tapi tidak cemerlang daripada segi insaniah. Saya nampak kementerian mahu penambahbaikan kepada...sepatutnya kepada sistem peperiksaan itu tetapi ia telah tukar sistem kepada PBS yang menyebabkan pelajar-pelajar menjadi pasif, tidak berminat untuk mengulang kaji di rumah. Di sekolah akan selesai semuanya di sekolah sahaja dan apabila balik ke rumah, tiada kerja rumah.

Jika ada kerja rumah yang diberi oleh guru yang berkaitan dengan PBS, ia salah sama sekali dengan sistem yang sedia ada. PBS memang tiada kerja rumah, ia hanya perlu dilaksanakan terus dalam kelas antara guru dengan murid. Murid-murid rasa seronok sebab hari ini belajar, hari ini habis kemudian esok lupa dah apa yang diajar. Ibu bapa dah tak tahu bagaimana nak nilai anak mereka. sebab dulu ada dapat nombor satu, dua, tiga tapi sekarang keluar band. Walaupun pelajar itu pandai, kurang pandai atau sederhana, levelnya sama. Guru terpaksa ajar berulang-ulang supaya sampai sama level dengan budak yang pandai.

Sampaikan ada sesetengah guru yang terpaksa menipu. Saya nak tegaskan, terpaksa. Kerana nak tunggu seorang pelajar itu lulus, ia makan masa menyebabkan memberi kesan kepada silibus tahunan yang perlu dihabiskan.

Itu yang menyebabkan murid menjadi malas kerana dia tahu kalau dia tak jawab sekalipun, guru tetap beri ‘band’...terpaksa beri ‘band’ kerana jika guru tak beri ‘band’ ia akan dipersoal oleh pihak pentadbir.

Pihak kementerian, JPM dan PPD telah mengeluarkan nama-nama guru yang gagal menyiapkan SPPBS padahal sistem itu ditangguhkan. Apabila nama itu keluar, ia memainkan peranan kerana mengganggu emosi guru-guru.

SINAR HARIAN ONLINE : Ibu bapa sendiri tak faham dengan sistem sekarang?

NOR IZZAT : Memang itu saya berani cakap merupakan satu kelemahan daripada KPM kerana mereka dah hantar...mereka ada jurulatih utama kebangsaan (JUK). Mereka yang akan menerangkan kepada guru-guru dan ibu bapa.  Maklumat yang disampaikan itu tidak sampai kerana melibatkan manusia. Apabila dia cakap ABC, yang sampai ke negeri hanya AB sahaja dan sampai ke sekolah ia jadi ABD pula.

Pihak sekolah memang mengadakan hari terbuka untuk menerangkan PBS kepada ibu bapa tapi kita sedia maklum, kekangan apabila ada ibu bapa yang tidak ada masa untuk datang ke sekolah. Tapi apabila timbul masalah seperti sekarang ini, baru mereka mahu bersuara. Itu sebenarnya satu kesan positif kerana ibu bapa ambil berat dan bertanya kepada guru-guru.

SINAR HARIAN ONLINE : Harapan untuk pihak kementerian?

NOR IZZAT : Harapan besarnya, kami dalam SGMM ini sudah bersedia. Kami harapkan KPM panggil untuk berbincang secara terperinci sebelum bertemu dengan PBSMR yang menggantikan PMR. Kita tak mahu apabila PBSMR itu dilaksanakan, ia akan menyebabkan pelajar-pelajar berdepan masalah untuk melanjutkan pelajaran pada masa akan datang. Itu yang pertama.

Kedua, kami berharap ibu bapa turut bersuara dan ambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh pendidikan.

Ketiga, kami minta sangat-sangat supaya Menteri dan timbalannya cakna dengan masalah ini bukan sekadar masalah PBS atau SPPBS tetapi masalah tentang sistem-sistem yang diperkenalkan. Ada 64 senarai sistem-sistem yang akan diperkenalkan pada tahun depan. Jadi, kita minta ia ditambah baik sebelum masalah timbul tahun depan.

Sumber : SinarHarian

Post a Comment