TENANG menghirup cendol menikmati hidangan pencuci mulut itu, lelaki setinggi lima kaki empat inci ini seolah seorang yang tidak banyak bercakap melainkan murah memberikan senyuman.

Dari pengamatan awal, membandingkan perwatakan dia dengan anaknya nyata jauh berbeza. Mungkin hanya satu atau dua persamaan saja antara mereka.
Melihat gerak-geri tubuh yang teratur menghabiskan pencuci mulutnya ketika minum petang di sebuah restoran di Sungai Long, Kajang, Selangor baru-baru ini, penulis merasakan ada satu aura keselesaan mungkin kerana wajahnya yang manis dan menyenangkan.

Tanpa berlengah penulis membuka bicara menyampaikan tujuan sebenar menemubualnya sempena Hari Bapa. Nyata Ir Tan On Chin, 58, menunjukkan reaksi terkejut dan tergelak kecil kerana tidak menyangka dirinya turut menarik perhatian sedangkan kejayaan anaknya, Kapten James Anthony Tan, 21, yang mengharumkan nama negara dengan mencipta rekod baru dunia.

James, juruterbang muda penghidap disleksia berjaya menamatkan penerbangan solo mengelilingi dunia selama 48 hari, sekali gus melakar nama dalam World Guinness Book of Records.

Tentunya di sebalik kejayaan seorang anak itu, banyak didorong ibu bapa atau penjaganya yang berperanan membentuk keperibadiannya.

Mengenali keperibadian Tan
Bukan seorang pendiam seperti disangka, sebaliknya sungguh ramah dan amat disenangi sehingga tidak kering gusi tatkala berbual dengannya.

Ada saja yang membuatkan penulis dan jurugambar geli hati sepanjang perbualan dengan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kerja Raya Cawangan Pendidikan dan Pengajian Tinggi itu.

Memulakan perbualan, lelaki menghampiri enam dekad usianya itu akui tidak pernah menyangka menjadi bapa bertuah dengan pencapaian anak bongsunya itu, malah berpuas hati kerana didikan serta sokongan selama ini kepada James di landasan yang betul.

Tan, berpengalaman selama 32 tahun sebagai kakitangan JKR mempunyai sembilan beradik kandung dan dua beradik tiri.

Berasal dari Batu 18 Cheras, Tan pernah mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil dari University of Wales, United Kingdom, di mana di universiti sama, beliau mengenali isterinya, Olive Beverley Tan, 53, yang mengikuti kursus kesetiausahaan.

Hasil perkongsian kasih Tan dan Olive, mereka kini memiliki empat cahaya mata, iaitu Aimee, 31; Jaimie, 29; Samantha, 27 dan James, 21. Malah hari ini, pasangan itu kini bergelar datuk dan nenek kepada seorang cucu yang akan genap usia dua tahun pada Julai ini.

Penekanan nilai kekeluargaan pengikat sesama ahli keluarga

Sebagai bapa, nilai kekeluargaan bagi Tan penting dan harus diberi keutamaan, tidak kira dalam apa jua keadaan.

“Ibu saya sering berpesan kepada kami seluruh beradik, dalam apa jua keadaan dan menggunakan apa saja cara sekali pun, keluarga harus menjadi keutamaan.
“Ini termasuk mencari penyelesaian kepada cabaran dan halangan, serta membantu memberi sokongan dan semangat apabila memerlukan.

“Berpegang kepada pesanan wanita yang saya kasihi ini, ikatan keluarga kami rapat dan kukuh sehingga ke hari ini,” katanya.

James seorang yang istimewa

James dikesan menghidap disleksia (gangguan dalam pembelajaran) pada usia lapan tahun. Ketika itu James tidak menyerlah dalam akademik tetapi aktif dalam sukan. Namun Tan tidak pernah menganggap masalah anak lelaki tunggalnya itu satu masalah kurang upaya.

“Sebaliknya bagi saya, James seorang yang istimewa. Saya tahu dia seorang yang istimewa kerana sejak dilahirkan lagi sudah tanam dalam minda ini dia seorang yang istimewa, bapa saya (mendiang) pun akui James cucu istimewa.

“Namun seperti layanan dengan kakaknya, saya tidak memanjakan hanya kerana James anak bongsu juga cahaya mata tunggal lelaki kami, tetapi saya sentiasa pastikan dia tahu membuat kerja rumah termasuk mencuci pinggan dan baju, mengemas biliknya, dan melipat selimut.

“Saya sendiri diajar ibu (nenek James) supaya banyak berdikari sejak kecil termasuk membasuh baju dan pada waktu itu, belum ada mesin basuh jadi kami perlu mencuci menggunakan tangan.

“Mungkin Olive serta tiga kakaknya agak memanjakan, tapi sebagai bapa saya rasa bertanggungjawab untuk pastikan James fahami inilah kehidupan, tidak boleh ambil mudah semua perkara dan terlalu bergantung kepada keluarga,” katanya.

Larang bermain komputer hingga awal pagi

Menceritakan situasi pada satu ketika, Tan pernah menasihatkan James supaya tidak bermain komputer hingga awal pagi. Ini penting kerana jika perlu bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang kelak, ia akan menjadi masalah bagi anaknya apabila tidak boleh bangun pagi.

“James membalas mungkin dia akan bekerja selama lapan jam namun tidak semestinya waktu kerjanya dari pagi hingga petang. Jawapan itu membuat saya termangu seketika sebelum menyedari apa yang dikatakan ada logiknya sekali gus menunjukkan fikiran anak muda ini dipenuhi pelbagai idea.

“Selepas James tamat persekolahan dulu pun, dia menyuarakan hajatnya untuk mengikuti kursus juruterbang. Memahami keadaan gawat ketika itu, dia turut mencadangkan niat itu boleh ditangguhkan dua tahun lagi.

“Pada saat itu baru saya sedar James sudah mempunyai matlamat apa yang hendak dilakukan di masa depan, dan sanggup berkorban demi mencapai objektif hidupnya itu.

Menurut Tan, memang apabila anaknya itu menyatakan hasrat untuk terbang solo mengelilingi dunia, dia yang menyifatkan dirinya dan tidak memiliki keghairahan seperti James, menasihatkan supaya realistik.

“Saya katakan dia langsung tidak ada kereta, bagaimana hendak beli kapal terbang pula?.

“Rupa-rupanya ketika menyatakan hajat itu, James sudah pun melakukan persiapan lebih awal memenuhi segala urusan perlu untuk menjadikan impiannya itu realiti,” jelas Tan.

Apabila impian anaknya hampir menjadi kenyataan, Tan terpesona malah teruja menunggu kepulangan James ke tanah air dengan selamat.

Saat ketika merakam gambar bersama Olive dan James, penulis bergurau memintanya memberikan senyuman bangga, lantas dengan spontan Tan membalas, “Tentulah bangga... macam mana tak bangga,”.

Pasti perasaannya itu hakikatnya tidak dapat dibayangkan hanya dengan kata-kata.

Bapa, keluarga sangat penyayang

Sebagai anak, James mengakui betapa sokongan daripada keluarga banyak membantu apa yang diimpikan menjadi kenyataan.

Dia juga menjelaskan, sungguh bernasib baik kerana memiliki ibu bapa yang penyayang, malah pengorbanan mereka membolehkan apa yang diinginkan dapat dilaksanakan.

Sebagai sebuah keluarga dengan ikatan yang kukuh, kedua-dua ibu bapanya memainkan peranan penting sehingga membolehkannya mencapai hasrat diinginkan serta kejayaan.

“Kalau kita memiliki keluarga paling teruk tetapi memasang cita-cita untuk melakukan sesuatu dalam kehidupan, kita masih boleh mencapainya. Tapi apabila dikurniakan keluarga yang banyak memberikan sokongan serta semangat, ia menjadi lebih mudah untuk kita mencapai cita-cita itu.

“Jadi, saya bernasib baik memiliki keluarga ini.

“Bapa saya seorang yang baik serta penyayang, malah dia banyak mengajar saya mengenai kehidupan.

“Pengorbanannya yang tidak berbelah bahagi membantu saya bergerak ke depan sekali gus menjadikan impian saya satu realiti,” katanya.



Sumber : BeritaHarian oleh Azida Shaharuddin


Post a Comment