PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan merancang untuk memansuhkan jaminan jawatan sebagai guru tetap yang selama ini diberi secara automatik kepada guru-guru pelatih dari institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah itu yang mungkin dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bertujuan memastikan hanya guru pelatih yang benar-benar berkualiti dan berkelayakan ditawarkan untuk jawatan sebagai guru tetap di sekolah-sekolah.

Berdasarkan amalan, katanya, pada masa ini guru-guru pelatih dari IPG dan IPTA dijamin pelantikan mereka sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka.

"Pemilihan guru akan berbeza, kita perlu pilih yang terbaik untuk menjadi guru. Dengan itu dapat kita melahirkan masyarakat yang hebat kerana masa depan negara bergantung kepada mereka.

"Untuk menjadikan Malaysia hebat adalah melalui pendidikan," katanya selepas majlis Konvokesyen IPG Kementerian Pelajaran kali ketiga di sini semalam.



Sumber : http://www.kosmo.com.my

Post a Comment