Saya ingat kata-kata seorang pensyarah yang bertugas di IPG Kampus Tawau yang juga merupakan jurulatih SISC+ dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dimana beliau sangat hairan bagaimana pegawai SISC+ yang baru 10 tahun bertugas sebagai guru sekolah sudah dilantik menjadi pegawai SISC+.  Jika dilihat daripada peringkat perkembangan guru, mungkin guru tersebut masih diperingkat Guru Cekap atau Guru Mahir. Jauh sekali sebagai Guru Pakar. Untuk menjadi pegawai SISC+ sekurang-kurangnya beliau seorang Guru Pakar iaitu beliau mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidangnya, idea dan kemahiran mempengaruhi polisi-polisi berkaitan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Kepakaran pula mendapat pengiktirafan daripada jabatan dan bukannya berkhayal yang dirinya seorang yang pakar.

Terdapat cerita nakal yang mengatakan ada pegawai SISC+ ini memohon menjadi pegawai SISC+ sebab dia memang malas duduk di sekolah. Masa mengajar di sekolah dulupun tidak nampak kepakarannya dalam bidang yang dijawat sekarang. Keputusan UPSR di sekolah dia pun tidaklah baik sangat. Dia itu mahukan pangkat saja sebab jadi pegawai SISC+ saja gred mereka dinaikkan.. saya harap itu tuduhan liar mereka yang bencikan SISC+..

Melihat kepada bidang tugas SISC+ iaitu membimbing guru bagi meningkatkan Pengajaran Dan Pembelajaran, pegawai SISC+ sekurang-kurangnya memiliki ijazah sarjana dalam bidang kemahirannya. Melihat kepada nama SISC+ atau School Improvement Specialist Coaches, pegawai SISC+ sebaik-baiknya seorang guru pakar yang mampu membimbing guru-guru di sekolah. Memiliki ijazah sarjana dalam bidang kepakaran.

Tugas SISC+

1. Membina hubungan dengan guru dan membimbing guru di sekolah
2. Bekerjasama dengan Kementerian dan pegawai PPD untuk menyediakan latihan yang amat diperlukan oleh guru.
3. Mereka bentuk dan mentadbir intervensi khusus untuk meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah
4. Membimbing sejumlah guru (min 20 dan maks 30 orang) untuk tempoh sebulan; SISC+ bebas untuk merancang bagaiman proses bimbingan yang bakal dilaksanakan.

Melihat kepada tugas SISC+, kebanyakan pegawai SISC+ yang memantau di sekolah menjalankan tugas sama seperti Nazir Sekolah. Pegawai memantau dan memberikan komen kelemahan-kelemahan guru. Adakah komen itu dianggap sebagai salah satu bimbingan pengajaran atau lebih kepada kaunseling? Guru-guru sebenarnya mengharapkan inovasi terkini daripada pegawai SISC+ seperti yang dikongsikan oleh Guru Cemerlang. Malangnya kebanyakan pegawai ini tidak mempunyai rekod cemerlang semasa sebagai guru biasa malah ada kata-kata sinis mengatakan pegawai ini tidak pernah malakukan apa-apa kemajuan di sekolahnya yang dahulu.

Pegawai SISC+ sewajarnya melakukan Kajian Tindakan iaitu mengkaji masalah murid dan intervensi yang paling sesuai untuk menyelesaikan masalah murid. Hasil kejayaan kajian pula perlu dikongsikan kepada guru-guru di sekolah. Itu baru namanya membimbing guru di sekolah. Namun timbul pula persoalan sama ada pegawai ini didedahkan tentang perkara ini. Walaupun pagawai ini sering melafazkan perkataan intervensi tetapi berdasarkan penerangan pegawai, amat diragui tahap kefahaman mereka tentang intervensi.

Jawatan SISC+ merupakan jawatan yang dipohon. Sesiapapun boleh memohon asalkan berminat. Tidak keterlaluan jika dikatakan pegawai ini memohon jawatan bukan kerana kepakarannya dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi lebih kepada mengejar gred jawatan. Yakni pagawai yang memohon sebagai pegawai SISC+ sudahpun mendapat gred DG48 dengan cepat, sememangnya menjadi idaman mereka. Kebanyakan mereka ini hanya berani memberikan komen pengajaran guru tetapi mereka menggeletar macam kena malaria apabila ada guru-guru memohon mereka melakukan pengajaran mikro. Sebabnya mereka sedar tahap kemahiran mereka yang sebenar.

Tidak dinafikan, ada pegawai SISC+ yang benar-benar berkualiti. Ini dapat dibuktikan dengan rekod cemerlang pegawai semasa mengajar di sekolah. Pegawai ini banyak berkongsi idea dalam meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. Namun lebih ramai yang tidak layak menegur guru-guru berbanding yang layak. Pembelajaran abad ke 21 pun tidak boleh jelaskan. Strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pun susah hendak jelaskan..Bagaimana pula boleh menyarankan itu ini?

Akhir sekali adalah diharapkan pegawai SISC+ pada masa akan datang adalah mereka yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan berdasarkan kepakaran sebenar guru tersebut dan bukannya melantik pegawai yang memohon kerana hendakkan DG48 segera.


Adios..


Post a Comment