MyMetro | Oleh Ruhaiza Rusmin

Setiap kali menerima keputusan peperiksaan di sekolah dulu, perkataan pertama yang keluar daripada mulut ibu penulis ialah ‘periksa kali ini dapat nombor berapa?’

Kini, selepas penulis memperoleh cahaya mata, pertanyaan sama juga masih meluncur keluar biarpun era pendidikan kami berbeza.

Ternyata, keputusan berasaskan akademik masih lagi berada di tangga teratas dalam mengukur keupayaan pelajar.

Biarpun sistem serta modul pendidikan sudah dipelbagaikan bersesuaian keperluan zaman, mentaliti mengaitkan kejayaan pelajar dengan akademik masih sukar diubah.

Akademik masih lagi dijadikan kunci utama menentukan kemampuan pelajar sekali gus boleh dicongak masa depan mereka.


Pengarah Pusat Permata Pintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak berkata, kecemerla­ngan melalui akademik tidak boleh dijadikan ukuran bagi menentukan keupayaan pelajar.

Beliau berkata, pencapaian akademik, kecemerlangan, keupayaan dan kemampuan pelajar diukur menerusi pelbagai aspek.

“Masyarakat melihat konteks kejayaan adalah melalui kecemerlangan akademik. Ia dilihat sebagai penanda aras untuk penilaian prestasi.

“Sedangkan pendidikan bertujuan melahirkan pelajar serba boleh dalam aspek sahsiah, kemahiran diri, pengetahuan serta mempunyai nilai positif sebagai bakal pemimpin.

“Kita sebagai masyarakat perlu tahu definisi kecemerlangan itu banyak maknanya. Bukan sekadar kelayakan akademik semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, sikap ibu bapa yang hanya mementingkan pencapaian akademik hingga melupakan potensi anak yang lain perlu diperbetulkan.

“Ibu bapa ada hak mahukan anak berjaya dalam pelajaran, namun perlu juga menerima hakikat sejauh mana tahap kemampuan (pelajar).

“Setiap pelajar bukan berada dalam kelompok strata, tapi mempunyai pel­bagai tahap serta kelebihan masing-masing.

“Jika pelajar itu tidak cemerlang akademik, tidak semestinya dia tidak ada keupayaan lain. Dia mungkin kreatif dalam aspek tertentu dan ia boleh dikem­bangkan dengan sokongan,” katanya.

Beliau menegaskan, pendidikan ialah proses pembelajaran berterusan dan tidak terhenti melalui keputusan peperiksaan semata-mata.

“Matlamat negara menerusi pendidikan ialah melahirkan bakal generasi masa depan yang mampu berfikir pada aras tinggi, mempunyai sahsiah diri dan boleh menjadi pemimpin yang baik.

“Memang kalau dilihat sekilas lalu, mustahil pelajar yang mempunyai keputusan akademik baik tidak pandai.

“Tapi kepandaian juga subjektif. Dia mungkin tidak memperoleh senarai A yang panjang, tapi kemampuannya berfikir di luar kotak misalnya, adalah satu kelebihan,” katanya.

Tindakan ibu bapa yang sering memberi tekanan kepada pelajar juga boleh memberikan impak negatif.

“Ibu bapa mungkin menganggap cara itu tidak menekan, tetapi bagaimana pula pelajar. Tekanan mungkin boleh mewujud­kan konflik.

“Konflik pula bukan sesuatu yang baik kerana boleh menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran, emosi dan fizikal.

“Seorang pelajar tidak memerlukan konflik, tapi lebih kepada ketenangan juga sokongan,” katanya.

Ibu bapa juga, katanya, perlu mempunyai perasaan ‘belas’ dan memahami masalah dihadapi pelajar dalam pelajaran.

“Ada ibu bapa tidak mahu tahu atau tidak kisah mengenainya. Mereka hanya mahu melihat keputusan yang baik saja.

“Tindakan ini mencabar kemampuan pelajar bertahap sederhana. Sudah tentu keupayaan mereka mencapai keputusan ada hadnya.

“Jangan terlalu memaksa dan jangan anggap anak tidak cemerlang akademik tidak mempunyai masa depan. Zaman ini banyak pilihan boleh dibuat,” katanya.

Malah, zaman alaf baru ini memperlihatkan ramai pihak melihat potensi pelajar dari sudut berbeza.

“Seperti mana dikatakan, setiap pelajar adalah unik. Mereka ada kebolehan dan potensi sendiri.

“Kepentingannya ialah melihat bagaimana pelajar berkenaan boleh berinteraksi, berfikir di luar kotak, memberikan jawapan logik dan kreatif.

“Bukan semata-mata keputusan akademik dengan susunan A yang panjang. Itu juga tidak berguna andai kata pelajar jadi seperti robot diprogramkan,” katanya.

Sebagai pelajar alaf baru, mereka perlu dipersiapkan dengan nilai kepemimpinan sebagai pemimpin masa depan. (future leader)

Bagaimanapun, menjadi pemimpin masa depan bukan bermakna harus mempunyai kelayakan akademik semata-mata, tapi perlu diperlengkapkan dengan ciri-ciri kompeten sebagai bakal pemimpin.

“Ciri-ciri ini tidak boleh diperoleh menerusi buku saja, tapi juga pengalaman.

“Bagi mendapat ciri-ciri itu, pelajar memerlukan pendedahan yang pelbagai serta pemantapan kemahiran yang boleh dibentuk menerusi persekitaran,” katanya.

Ibu kepada dua pelajar yang memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah rendah ( UPSR) Norli Kairon berkata, dia tidak pernah memaksa anak untuk belajar.

Sebaliknya, menyerahkan kepada anaknya bagaimana menentukan corak masa depan.

“Saya tahu akademik penting, tapi tidak pernah memaksa anak untuk belajar semata-mata mahu mereka memperoleh keputusan cemerlang.

“Asalkan mereka gembira (belajar) itu sudah cukup.

“Pendidikan alaf baru tidak hanya menekankan keputusan peperiksaan. Biar mereka mencorakkan masa depan sendiri dan saya hanya memberi panduan,” katanya.


Post a Comment